Thursday, May 14, 2020

PERCUTIAN SAMBIL MENUNAIKAN UMRAH

PERCUTIAN SAMBIL UMRAH 13/12/19 - 24/12/19

    Assalamualaikum dan selamat sejahtera... Saya nak ceritakan pengalaman kami sekeluarga bercuti sambil menunaikan umrah. Kami menyertai agensi pelancongan sepanjang percutian ini iaitu Ustaz Harryanto Rizal Travel Agency. Kami sekeluarga berasa sangat gembira untuk pergi menunaikan umrah bersama.

JUMAAT - 13/12/19

    Kami bangun pada pukul 3.00 pagi dan bersiap. Ibu saya meminta pertolongan daripada sepupu saya untuk menghantar kami ke Masjid An Najah Taman Daya, Johor Jaya. Kami diminta berkumpul disitu untuk menunaikan solat subuh. Selesai menunaikan solat subuh, kami menaiki bas yang disediakan oleh pihak agensi dan mula bertolak ke KLIA. Kami singgah ke RNR Seremban untuk bersarapan dan melanjutkan perjalanan ke Kuala Lumpur. Setelah tiga jam perjalanan, kami tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur. Kami menurunkan beg bagasi daripada dalam perut bas dan diletakkan di atas troli. Kami bergerak ke kaunter pusat agensi untuk mendaftar bilangan beg dan mengambil tag pengenalan diri. Kami dikehendaki untuk menunggu selama tiga jam kerana penerbangan kami akan berlepas pada pukul 3:00 petang. Kami sempat menunaikan solat zuhur dan makan tengah hari. Tepat pukul 2.50 petang, kami diminta berkumpul untuk ke ruangan imigresen awal bagi memudahkan urusan pihak imigresen memeriksa pasport. Selesai urusan di imigresen, kami berkumpul di balai pelepasan untuk menunggu giliran masuk ke dalam pesawat. Kami menaiki pesawat Saudi Airlines.







SABTU - 14/12/19

Alhamdulillah selepas lapan jam di dalam pesawat, kami selamat sampai di Lapangan Terbang Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah.Sesampainya kami di sini,bulan sudah menunjukkan diri sebagai tanda sudah waktu malam.Turun sahaja daripada pesawat, kami pergi ke bahagian imigresen untuk menjalani proses imigrasi Arab Saudi. Setelah selesai urusan tersebut, kami ke kawasan tuntutan beg bagasi untuk mengambil beg. Kemudian, kami diminta untuk berkumpul untuk naik ke bas. Kedatangan kami ke tanah suci Madinah disambut oleh Ustaz Harryanto Rizal yang sememangnya berada di tanah Madinah. Kami diarahkan untuk naik ke dalam bas mengikut kumpulan yang telah diberikan iaitu kelabu dan biru. Kumpulan kami sangat beruntung kerana bas kami dinaiki oleh Ustaz Harryanto. Sepanjang perjalanan untuk ke hotel penginapan, kami diceritakan tentang Madinah seperti pintu sempadan tanah haram, sejarah Bukit Uhud dan lain lagi. Sampai di hotel penginapan kami iaitu Hotel Dar Al-Naeem Al Mukhtara, kami diberikan kunci bilik dan dibenarkan untuk naik ke bilik selama 10 minit untuk mengambil wuduk. Kemudian, kami diminta untuk ke Masjid An Nabawi dengan bantuan mursyid untuk menunaikan solat fardhu maghrib dan isyak secara jamak. Kami diimamkan oleh Ustaz Murad yang merupakan salah seorang daripada mursyid kami. Seusai solat, kami dibenarkan untuk pulang ke hotel untuk makan dan berehat.Tepat jam 4.30 pagi,kami bangun untuk bersiap ke masjid untuk menunaikan solat subuh. Selepas solat,kami pulang ke hotel untuk menikmati sarapan yang disediakan di dewan makan. Seusai makan,kami terus berkumpul di lobi hotel untuk pergi ke masjid. Seperti yang dirancang,aktiviti pada hari ini ialah menziarahi Raudhah. Jemaah wanita akan dibawa oleh beberapa orang ustazah. Setiap ustazah hanya boleh membawa lima orang jemaah. Manakala jemaah lelaki dibimbing oleh Ustaz Murad dan Ustaz Ajmal untuk menziarahi Makam Rasulullah dan Raudhah. Saya bersama ibu dan kakak saya dan dua lagi jemaah wanita lain menjadi kumpulan pertama yang lergi ke Raudhah. Sementara menunggu pintu untuk ke Raudhah dibuka, kami menunaikan solat sunat dhuha dan solat sunat hajat agar dipermudahkan urusan untuk masuk ke Raudhah. Sepanjang menunggu giliran untuk masuk, ustazah yang membimbing kami menyuruh kami untuk banyak berdoa agar urusan untuk masuk berjalan lancar. Alhamdulillah sudah sampai giliran kami untuk masuk ke Raudhah. Semua orang mula menolak- nolak antara satu sama lain untuk masuk ke dalam. Kami berenam berpegangan tangan dengan erat agar tidak terlepas jika ditolak.Ustazah membawa kami masuk ke bahagian dalam untuk menunaikan solat sunat berdekatan dengn Tiang Aisyah. Kami terpaksa solat secara berhimpit-himpit dan menunggu giliran kerana orang yang agak ramai menyukarkan untuk kami menunaikan solat sunat. Selesai solat,kami undur ke belakang sedikit untuk berdoa kerana ia merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa. Setelah selesai berdoa, kami terus keluar dari kawasan Raudhah. Sampai di hotel, saya pergi membeli ais krim strawberi dan shawarma. Bau shawarma yang sedap membuatkan saya terliur. Kemudian, setiap orang di kota Madinah mula membuka langkah ke masjid kerana azan zuhur bakal berkumandang. Selesai solat zuhur,kami pulang ke hotel untuk menikmati makan tengah hari.  Setelah itu, kami pulang kenbilik untuk berehat seketika dan terus ke masjid pada waktu asar. Selepas solat asar, kami bersiar-siar membeli jubah-jubah di kedai-kedai yang terletak ditepi jalan. Ibu saya rambang mata melihat jubah-jubah yang dijual, dengan corak yang lawa dan warna yang menarik. Selepas membeli, kami pulang ke hotel untuk meletakkan barang dan bersedia untuk waktu maghrib. Setengah jam sebelum azan maghrib berkumandang, saya bersama ibu dan kakak saya mula bergerak ke masjid untuk solat maghrib dan isyak. Selesai solat,kami pulang ke hotel untuk menikmati makan malam yang disediakan dan berehat sebelum memulakan hari esok.





AHAD - 15/12/19

Harini merupakan hari kedua kami di tanah Madinah, kami sekeluarga pergi ke Masjid Nabawi pada pukul 4.30 pagi untu menunaikan solat fardhu subuh dan pulang semula ke hotel untuk bersarapan. Aktiviti kami pada hari ini ialah ziarah Masjid An Nabawi. Selesai sarapan pagi, kami berkumpul di depan pintu kawasan masjid iaitu di pintu 25. Mursyid meminta kami untuk memakai alat pendengaran yang diberikan sewaktu di KLIA. Alat itu memudahkan kami untuk mendengar apa yang dikatakan oleh mursyid tanpa mursyid perlu bercakap dengan kuat. 

Destinasi pertama kami ialah perkuburan Baqi'. Ustaz Murad menceritakan bahawa setiap orang yang meninggal di madinah akan ditanam di perkuburan ini tetapi untuk yang bukan warganegara dan yang datang untuk menunaikan umrah, mereka mestilah mempunyai visa umrah sebagai tanda mereka datang ke madinah untuk menunaikan umrah. Sekiranya mereka tidak mempunyai visa tersebut, mereka akan ditanam di kawasan perkuburan lain di dalam kota Madinah.
 Seterusnya, kami berjalan ke bahagian kubah hijau di mana terletaknya jenazah Nabi Muhammad SAW dibawah kubah tersebut. Kami duduk di dataran yang lapang itu sambil mendengar ustaz menceritakan tentang sejarah Masjid An Nabawi. Tidak lama kemudian, kami dihalau oleh seorang anggota polis. Dia tidak membenarkan kami untuk duduk dan berkumpul. Jadi, kami meneruskan perjalanan kami mengelilingi kawasan masjid. Ustaz Murad menunjukkan kami sebuah masjid yang berada diluar kawasan Masjid An Nabawi iaitu Masjid Abu Bakar As Siddiq lalu menceritakan sejarahnya sambil berjalan. 

Perjalanan kami berakhir di pintu 22 dan kami berkumpul untuk mendengar sedikit ucapan yang ingin diberikan oleh Ustaz Murad. Ucapan yang disampaikan oleh ustaz ialah tentang sesiapa yang ingin menulis nama arwah untuk dibuat tahlil sewaktu di Mekah nanti dan sesiapa yang ingin memesan kurma ajwa, sejadah Raudhah dan minyak wangi Madinah kasturi. Tidak lupa juga untuk sesiapa yang ingin mewakafkan al-Quran. Selesai urusan tersebut, kami dibenarkan untuk membuat aktiviti bebas. Ibu saya,kakak saya dan saya membuat perancangan untuk pergi membeli jubah-jubah untuk diri sendiri dan orang di Malaysia. Ibu saya juga membeli beberapa sejadah Raudhah dengan harga yang murah selepas berkali-kali menawar. Selesai membeli belah, kami pulang ke hotel untuk meletakkan barang kerana sudah hampir waktu solat zuhur. Saya berasa amat gembira Allah telah menetapkan saya untuk bertemu kawan saya sudah lama terpisah. Walaupun dia rezeki untuk berjumpa di Malaysia, alhamdulillah kami dapat bertemu di sini. Kami mengambil gambar bersama ibu kami. Setelah itu,saya pun pulang ke hotel dan meneruskan hari kami dengan rutin kami. 






ISNIN - 16/12/19


Sudah empat hari kami di bumi Madinah, rasa sayang pada kota ini tidak mampu diungkapkan. Selesai solat subuh dan bersarapan, para jemaah diminta berkumpul di lobi hotel kerana hari ini kami akan berjalan-jalan di sekitar kota Madinah. Kami diminta untuk membawa sekali alat pendengaran bagi memudahkan kita untuk mendengar apa yang ustaz katakan. Hari ini agak istimewa kerana Ustaz Harryanto dan isterinya yan akan membawa kami menziarahi kota Madinah.Destinasi pertama kami ialah Gunung Uhud. Tempat ini amat terkenal dengan kisah sirah Rasulullah S.A.W. tentang berlakunya Perang Uhud yang telah mengorbankan bapa saudara baginda, Saidina Hamzah R.A..Kami duduk di lereng-lereng bukit sambil mendengar apa yang dicerita Ustaz Harryanto. Kemudian, kami diminta untuk bergambar bersama keluarga di kawasan Jabal Rumat(bukit pemanah) untuk diletakkan pada cenderahati yang bakal diberikan sewaktu di KLIA kelak. Ustaz Harryanto memberikan masa selama 20 minit sekiranya ingin singgah ke masjid,makam para Syuhada' atau pergi membeli belah. Saya membuat keputusan untuk pergi makam para Syuhada'. Makamnya tidak kelihatan kerana tanahnya sudah rata akibat daripada banjir yang pernah melanda.

Kemudian, kami meneruskan perjalanan kami ke ladang kurma. Sampai di sana,para jemaah rambang mata melihat pelbagai jenis kurma,kismis dan coklat yang dijual. Kanak-kanak mula teruja melihat banyak coklat dijual. Saya membuat keputusan untuk ke bahagian belakang kedai di mana terletaknya ladang kurma. Ladang tersebut dihias dengan cantik. Pemilik ladang ini meletakkan beberapa set sofa dan kerusi batu di bawah pokok kurma. Ladang yang redup dan ditiupi angin mewujudkan suasana yang tenang. Saya dan abang saya bergambar di sebalik daun kurma dan hasilnya agak menarik.

Selepas setengah jam di ladang itu, kami meneruskan perjalanan ke Masjid Quba' yang merupakan kiblat pertama orang Islam. Kami menunaikan solat sunat tahyatul masjid dan juga solat sunat Dhuha. Selepas solat, kami kembali ke dalam bas dan mendengarkan kisah Rasulullah sewaktu membina masjid ini. Tamatlah sudah pengembaraan kami pada hari ini. Kami terus pulang ke hotel penginapan kami kerana sudah hampir waktu zuhur.

Selesai solat di Masjid An Nabawi, kami pulang ke hotel untuk makan tengah hari dan ke masjid semula untuk solat fardhu asar. Selepas solat asar, kami berkumpul di tingkat M, yang merupakan dewan makan untuk mendengar taklimat untuk esok hari di mana kami semua akan bergerak ke Mekah. Selesai taklimat tersebut, kami naik ke bilik untuk mengemas barang yang baru dibeli dan kami meneruskan rutin harian kami.






SELASA - 17/12/19

   Hari ini merupakan hari terakhir kami di bumi Madinah. Selesai solat subuh,kami melakukan ziarah perpisahan atau lebih dikenali sebagai ziarah wada'.Kami berjalan ke bahagian luar raudhah untuk berdoa kepada Rasulullah untuk kali terakhir.Saya berasa sebak kerana susah untuk kita dapat jejakkan kami di Masjid An Nabawi.Bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Murad.Selesai berdoa dan bergambar,kami pulang ke hotel untuk menikmati sarapan yang disediakan dan bersedia untuk meninggalkan tanah Madinah.Selesai proses daftar keluar bilik,kami naik ke dalam bas dan bergerak ke Mekah. Dalam perjalanan ke Mekah,kami singgah di Masjid Bir Ali untuk berniat ihram. Tiba di masjid,kami menunaikan solat sunat tahyatul masjid dan berkumpul untuk membaca niat ihram bersama.Selesai niat,kami menyambung perjalanan ke Mekah.

    Selepas beberapa jam perjalanan,kami sampai di bumi Mekah. Ketika sampai,bas kami tidak boleh masuk ke kawasan yang berdekatan dengan Masjidil Haram kerana sudah hampir waktu maghrib tetapi mursyid mengatakan kepada polis yang menjaga jalan tersebut bahawa kami baru tiba dari Madinah.Polis itu membenarkan kami melalui jalan tersebut. Hotel penginapan kami terletak di sebelah Menara Jam Mekah. Kemudian,kami masuk ke dalam hotel untuk meletakkan barang.Kami berkumpul di lobi hotel sementara mursyid menyelesaikan urusan daftar masuk bilik. Setelah mendapat kad bilik, kami diminta untuk ke restoran bawah untuk menikmati makan malam. Seusai makan, kami naik ke bilik untuk berehat dan menunaikan solat maghrib dan isyak di dalam bilik kerana kami belum melakukan tawaf selamat datang (tawaf qudum). 

Tepat pukul 9.00 malam, kami berkumpul di lobi untuk bersedia ke masjid. Ini merupakan umrah pertama kami. Saya berasa agak teruja. Setelah bilangan jemaah mencukupi, kami mula bergerak ke masjid. Kami agak beruntung kerana hotel kami dekat dengan Masjidil Haram.Kami hanya perlu turun ke tingkat bawah menggunakan dua eskalator dan kami akan sampai kawasan luar masjid. Sampai di kawasan masjid,kami terus masuk ke dalam masjid dan terus ke kawasan tawaf. Saya berasa agak gembira dan bersyukur kerana dapat melihat Kaabah walaupun ini sudah kali kedua saya jejakkan kaki di Baitullah ini. Kami menunaikan tawaf Qudum dengan bimbingan mursyid dan bantuan buku panduan yang dibekalkan sewaktu pendaftaran dengan pihak agensi. Selesai tawaf, kami menunaikan solat sunat selepas tawaf di kawasan dataran tersebut.  Kami diarahkan untuk minum air zamzam yang disediakan bertong-tong di kawasan tersebut sebelum kami melalukan saie. 

Sebelum ke kawasan saie, kami dipisahkan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang ingin bersaie menggunakan skuter dengan bimbingan Ustaz Ajmal dan kumpulan saie biasa dengan bimbingan Ustaz Murad. Selesai tujuh pusingan dari Bukit Safa ke Bukit Marwah, kami berehat di kawasan Bukit Safa untuk bertahallul iaitu mengunting sedikit helaian rambut sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Selesai urusan umrah pertama kami, kami pulang ke hotel untuk tidur.







RABU - 18/12/19

Hari kedua di tanah haram Mekah, kami bangun daripada tidur dan bersiap untuk bergerak ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat subuh dan pulang semula ke hotel untuk sarapan. Pada hari ini, kami diberikan masa untuk berehat sehingga selepas waktu zohor. Selepas sarapan, saya dan keluarga pulang ke bilik untuk berehat. Tiba waktu zuhur, kami pergi ke masjid untuk menunaikan solat zuhur. Selesai solat,saya dan kakak saya pergi ke Restoran Dsaji untuk mengambil makanan tengah hari dan bawak ke bilik. Selepas menikmati makanan, kami pergi kedai-kedai yang menjual pakaian dan cenderahati di bahagian bawah hotel untuk membelikan cenderahati kepada orang di Malaysia.
Seperti yang dirancangkan, harini kami akan menziarahi Masjidil Haram selepas solat asar. Kami memakai alat pendengaran yang disediakan dan berkumpul di depan WC3 yang berhampiran dengan hotel. Kemudian, kami mula bergerak mengikut Ustaz Murad. Kami duduk di kawasan lapang di bahagian luar masjid. Di situ, Ustaz Murad menceritakan pelbagai sejarah masjid dan sirah nabi- nabi. Salah satu ceritanya tentang sejarah Bukit Qubais. Selesai bercerita, kami menunaikan solat maghrib di kawasan tersebut dan terus menunggu waktu isyak tanpa pulang ke hotel. Setelah selesai solat,kami pulang ke hotel untuk makan malam dan berehat.




KHAMIS - 19/12/19

Hari ketiga kami di Mekah. Terlalu banyak kenangan yang tercipta. Hari ini kami akan menunaikan umrah yang kedua. Selepas selesai solat subuh dan sarapan, kami bersiap berpakaian ihram untuk pergi ke miqat. Sebelum berpakaian ihram, kami melakukan perkara sunat sebelum ihram seperti mandi sunat,berwangi-wangian,ketip kuku dan lain-lain. Tempat untuk kami berniat pada kali ini ialah Masjid Tanaiem. Kami diminta untuk berkumpul di lobi hotel sebelum bertolak ke Masjid Tanaiem. Sewaktu di Masjid Tanaiem, kami menunaikan solat sunat tahyatul masjid,solat sunat dhuha dna solat sunat ihram. Selesai solat,kami naik semula ke dalam bas untuk membaca niat ihram dengan bimbingan para mursyid. 

Kami terus pulang semula ke Masjidil Haram untuk menunaikan tawaf dan lain-lain. Selesai tawaf, kami terus ke bahagian saie. Saie kalini agak berbeza kerana kami menggunakan skuter. Seorang jemaah perlu membayar 50 riyal untuk menunggang skuter. Saya berpeluang untuk menaiki skuter kerana ibu dan kakak saya berpuasa sunat dan tidak larat untuk berjalan ketika saie. Sewaktu sedang saie, kami berhenti seketika untuk menunaikan solat fardhu zuhur. Kemudian,kami habiskan bersaie dan bertahallul. Kami terus pulang ke hotel untuk makan tengah hari. Selepas itu, kami menjalankan rutin kami seperti biasa.



JUMAAT - 20/12/19

Genap hari keempat di Mekah, kami menjalankan rutin kami seperti biasa. Selepas waktu zohor, kami berjalan-jalan di kawasan kedai-kedai di bahagian bawah hotel untuk mencari cenderahati kerana tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum pulang ke Malaysia. Selepas waktu solat asar, kami berkumpul di WC3 untuk aktiviti pada petang ini iaitu tahlil. Ustaz Murad membawa kami ke bahagian 'rooftop' Masjidil Haram. Tahlil ini disedekahkan untuk para nabi dan rasul, para sahabat, golongan ulama dan ahli keluarga jemaah yang telah meninggal dunia. Sewaktu sedang membaca surah yassin, jemaah wanita dihalau oleh polis masjid kerana duduk di bahagian saf lelaki. Jemaah perempuan terpaksa berpindah ke bahagian saf wanita yang terletak di bahagian belakang sedikit. Ustaz Murad terpaksa berpindah dan duduk di bahagian tengah antara saf lelaki dan perempuan. Selesai bacaan tahlil, azan maghrib pun berkumandang. Kami menunaikan solat maghrib dan terus menunggu untuk waktu solat isyak. Seusai solat, kami pulang ke hotel untuk makan malam dan berehat.





SABTU - 21/12/19

Alhamdulillah, sudah hari kelima kami di bumi Mekah. Seperti biasa,kami akan bangun pada pukul 4.30 pagi dan bersiap untuk ke masjid. Selesai solat dan sarapan, kami berkumpul di lobi hotel sebelum memulakan perjalanan pada hari ini. Aktiviti kami pada hari ini ialah menziarahi kota Mekah. Destinasi pertama kami ialah Gua Thur. Ustaz Salleh selaku mursyid kumpulan biru menceritakan kisah sirah di Gua Thur yang merupakan tempat Rasulullah bersama Saidina Abu Bakar bersembunyi daripada kaum kafir Quraisy yang cuba membunuh baginda.Seterusnya,kami bergerak ke kawasan mina. Kami hanya melalu di kawasan Mina. Ustaz Salleh menceritakan tentang sejarah di Mina dan perkara yang dilakukan oleh jemaah haji sewaktu di Mina. Kemudian, kami bergerak ke Arafah. 

Di Arafah, saya berpeluang mendaki Jabal Rahmah hingga ke puncak mengikut laluan batu-batu kerana keadaan di bahagian tangga terlalu sesak. Ini merupakan kali pertama saya mendaki dengan berpakaian jubah. Saya dan kakak saya bergambar di puncak Jabal Rahmah dan kami turun dengan selamat. Keadaan menjadi cuak kerana kami tidak jumpa ibu bapa kami kerana kami turun di tempat yang salah. Selepas tiga minit mencari, akhirnya kami berjumpa dengan ibu kami. Saya berasa sangat lega. Ibu saya ada membeli dua atau tiga jubah kerana harganya di sana agak murah. Tidak lama kemudian, Ustaz Murad memanggil semua jemaah untuk bergambar sebagai tanda kenangan. Kami meneruskan perjalanan kami ke tempat untuk berniat. 

Sepanjang perjalanan, kami melalui tempat melontar Jamrah, Masjid Mashaer Haram, Masjid Namirah, tempat Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Ismail dan Jabal Nur. Sepanjang perjalanan juga, Ustaz Salleh menceritakan setiap sejarah atau sirah tempat yang kami lalui. Akhirnya, kami sampai di Masjid Ji'ranah. Kami masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat sunat tahyatul masjid dan solat sunat ihram. Seusai solat, kami kembali ke dalam bas untuk berniat ihram dan terus pulang ke Masjidil Haram semula. Sampai di Masjidil Haram, kami terus mulakan dengan tawaf dan berakhir dengan bertahallul atas bimbingan Ustaz Salleh. Selepas itu, kami pulang ke hotel untuk berehat dan meneruskan rutin seperti biasa.





AHAD - 22/12/19

Hari keenam mula menjelma. Saya berasa agak gembira dan teruja kerana hati ini kami akan ke Taif. Pada hari ini, kami bangun sedikit awal kerana kami perlu menunaikan tawaf Wada' kerana kami bakal keluar dari tanah Mekah.Selesai bersarapan, kami berkumpul di lobi hotel sebelum memulakan perjalanan. Perjalanan ke Taif yang mengambil masa selama 2 jam dan masa itu membenarkan semua jemaah untuk berehat di dalam bas. 

Setelah tiba di Taif, destinasi pertama kami ialah Kilang Bunga Ros. Sampai sahaja disana, kami disambut dengan hidangan air teh ros yang asli. Walaupun rasanya agak pelik, tetapi saya suka baunya. Terdapat pelbagai jenis minyak wangi yang dijual disana. Pihak penjual juga memberi kami peluang untuk menghidu semua jenis minyak wangi sebelum membeli. Saya keluar daripada kilang dan pergi ke bahagian kilang yang terdapat permandangan lereng bukit yang indah. Suasananya yang agak sejuk di bumi Taif dengan angin yang bertiupan membuatkan saya berasa tenang.

 Setelah selesai membeli barang dan menikmati permandangan, kami terus bergerak ke pasar buah-buahan yang terkenal di Taif. Terdapat banyak gerai yang dibuka dan pelbagai jenis buah-buahan yang dijual di sana. Para jemaah mula sibuk membeli buah-buahan dan cuba menawar untuk mendapatkan harga yang murah. Saya singgah ke satu gerai menjual air buah. Saya membeli secawan jus delima asli dengan harga lima riyal. Rasanya yang agak kelat menyebabkan saya memberikan jus tersebut kepada abang saya. Saya sambung bersiar-siar di kawasan gerai sambil mengenal jenis buah dan bergambar. 

Selesai membeli belah dan perut pun sudah mula lapar, kami bergerak ke Restoran Ber Romah untuk menikmati hidangan nasi arab. Kami berkongsi satu keluarga dengan makan di dalam dulang. Baunya yang sedap  menyebabkan kami terliur dan tidak sabar untuk menikmatinya. Seusai makan, kami dijamu dengan sejenis manisan yang bernama Kunafa. Rasanya sedap menyebabkan ramai jemaah memesannya untuk bawa pulang ke Malaysia. Ibu saya memesan sebanyak tujuh bekas Kunafa. Selepas mendapat bungkusan Kunafa yang dipesan, kami bergerak ke Masjid Abdullah bin Abas untuk memberi peluang kepada para jemaah untuk ke tandas. Kami diceritakan sedikit sebanyak tentang sejarah masjid itu.

 Kemudian, kami terus ke Qarnul Manazil untuk memberi peluang kepada jemaah yang ingin menunaikan umrah keempat. Para jemaah diminta untuk menunaikan solat asar berjamak dengan solat zuhur di masjid kerana tidak sempat untuk menunaikannya di Mekah. 
Selesai urusan di sana, kami terus pulang ke Mekah. Sampai di Mekah, kami pulang ke hotel untuk meletakkan barangan yang dibeli dan terus ke masjid untuk menunaikan solat maghrib dan isyak. Seusai solat, kami terus pulang ke hotel untuk makan malam dan berehat. Hari ini merupakan hari yang amat memenatkan saya.









ISNIN - 23/12/19

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Mekah. Hati ini berasa agak sebak kerana susah untuk mendapatkan peluang untuk menjejakkan kaki di tanah suci ini. Kami bangun awal untuk sambung mengemas beg dan terus ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat subuh. Seusai solat, kami pulang ke hotel untuk bersarapan kali terakhir. Selepas makan, kami terus naik ke bilik untuk mengemas bilik sebelum mendaftar keluar dan meletakkan beg bagasi di luar bilik bagi memudahkan pekerja hotel membawa turun. Tepat jam 10.30 pagi, kami diminta untuk berkumpul di lobi hotel untuk pergi ke masjid bagj menunaikan tawaf perpisahan (tawaf wada') bersama-sama. Selesai tawaf,kami diminta untuk menunaikan solat zuhur di musolla hotel kerana tidak dibenarkan solat di Masjidil Haram kerana telah menunaikan tawaf wada'. Selesai solat, kami turun ke Restoran Dsaji untuk menikmati makan tengah hari. 

Pada pukul 2.00 petang, kami mendaftar keluar bilik dan berkumpul di lobi hotel. Selepas 30 minit menunggu, para jemaah diminta naik ke dalam bas dan bas mula bergerak ke Lapangan Terbang Jeddah. Tiba di lapangan terbang, pihak agensi mula menyelesaikan urusan mendaftar masuk bagasi dan air zamzam. Selesai urusan tersebut, kami terus menjalani proses imigrasi dan menunggu di bahagian balai berlepas. Selepas 10 minit menunggu, pesawat kami sudah bersedia dan kami dibawa menaiki bas ulang-alik elektrik yang disediakan untuk ke pesawat kami yang diparkir agak jauh. Tiba di pesawat, jumlah penumpang yang ramai menyebabkan kami terpaksa naik ke dalam kapal terbang agak lambat. Setelah masuk ke dalam kapal terbang, kami menunggu selama 10 minit sebelum pesawat berlepas. Saya berasa amat teruja kerana ini kali pertama tempat duduk saya terasing daripada keluarga tetapi saya perlu menukar tempat duduk dengan kakak saya kerana ia memudahkan ibu saya untuk memantau saya.Perjalanan kami mengambil masa lapan jam sebelum tiba di Malaysia. Saya mengambil keputusan untuk berehat selepas menikmati makan malam. Selepas beberapa jam tidur, ibu saya mengejut saya untuk menunaikan solat subuh dan makan untuk kali kedua.



 SELASA - 24/12/19

Selepas lapan jam dalam pesawat, akhirnya kami sampai di tanah air dengan selamat. Saya berasa sangat bersyukur kerana telah sampai namun rasa rindu pada Madinah dan Mekah tidak dapat diungkap. Kami keluar daripada pesawat dan terus menjalani proses imigrasi. Setelah selesai urusan tersebut,kami menunggu di kawasan mengambil beg untuk mengambil beg bagasi kami sambil Ustaz Murad mengedarkan air zamzam dengan bantuan saya. Seusai itu,kami terus berkumpul dan bergambar untuk kali terakhir sebagai tanda kenangan. Selepas bersurai, kami terus menaiki bas yang disediakan oleh pihak agensi untuk pulang ke Johor Bahru. Dalam perjalanan pulang, kami berhenti di kawasan tol Jasin untuk menghantar Ustaz Murad pulang. Kemudian, kami meneruskan perjalanan pulang. Alhamdulillah, kami selamat sampai di Johor Bahru dan teru pulang ke rumah. Setelah tibanya kami sekeluarga di rumah, maka tamatlah sudah percutian kami. Ibu bapa kami berkata bahawa mereka membawa kami untuk menunaikan umrah untuk mendidik kami agar apabila meningkatkan dewasa, kami tidak lupa tentang agama. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sesungguhnya, saya berasa amat rindu dengan rutin di Madinah dan Mekah. Kenangan ini merupakan kenangan terindah yang tidak akan saya lupakan.




SEKIAN, TERIMA KASIH
-DINA JASMINE-